PUTRAJAYA: Sokongan ibu bapa terhadap pembelajaran anak-anak menunjukkan penurunan berdasarkan dapatan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perkembangan itu perlu diberi perhatian kerana penglibatan keluarga memainkan peranan penting dalam perjalanan pendidikan seorang anak.
Sehubungan itu, beliau merayu ibu bapa supaya meningkatkan sokongan dan penglibatan dalam pembelajaran anak-anak, tanpa perlu mengambil alih peranan guru di rumah.
“Ibu bapa tidak perlu menjadi cikgu kedua di rumah. Tidak perlu tahu semua formula Matematik. Tidak perlu duduk tiga jam mengajar anak setiap malam.
“Kadang-kadang ia bermula dengan perkara yang sangat kecil, dengan kesediaan seorang ibu atau bapa untuk duduk, mendengar dan bertanya bagaimana hari anak mereka di sekolah,” katanya semasa sidang media keputusan PISA 2025 di Putrajaya pada Selasa.
Berdasarkan dapatan PISA 2025, peratusan ibu bapa yang berbincang dengan anak mengenai aktiviti sekolah menurun kepada 51 peratus, berbanding 57 peratus pada 2022.
Penurunan lebih ketara direkodkan bagi ibu bapa yang berbincang mengenai masalah di sekolah, daripada 46 peratus pada 2022 kepada 34 peratus pada 2025.
Menurut Fadhlina, interaksi yang kelihatan kecil itu sebenarnya memberi isyarat kepada anak-anak bahawa pembelajaran, usaha dan masa depan mereka penting kepada keluarga.
Beliau berkata, pencapaian pendidikan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu Kementerian Pendidikan (KPM), sekolah atau guru, sebaliknya memerlukan tanggungjawab bersama termasuk daripada keluarga.
“KPM ada tanggungjawabnya. Sekolah ada tanggungjawabnya. Cikgu ada tanggungjawabnya.
“Keluarga juga mempunyai tanggungjawab yang tidak boleh diserahkan kepada sesiapa.
“Jadi hari ini saya ingin merayu kepada ibu bapa untuk sama-sama kita lihat peranan kita sebagai keluarga, khususnya untuk memastikan sokongan kepada anak-anak kita dalam perjalanan ini dapat terus kita pertingkatkan,” tegasnya.