PUTRAJAYA: Malaysia mencatatkan penurunan dalam pencapaian Matematik menerusi Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025, dengan skor 397 mata berbanding 409 mata pada 2022.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penurunan itu perlu diberi perhatian serius dan tidak seharusnya dilihat sebagai perubahan dalam satu pusingan penilaian semata-mata.
“Itu harus membuatkan kita melihat masalah ini dengan lebih serius, bukan dengan lebih defensif,” katanya dalam sidang media pada Selasa.
Bagaimanapun jelasnya, pencapaian Malaysia dalam dua lagi domain utama PISA menunjukkan peningkatan.
Tambah Fadhlina, skor Sains meningkat kepada 419 mata berbanding 416 mata pada 2022, manakala Bacaan mencatatkan 393 mata berbanding 388 mata sebelum ini.
Katanya, dapatan PISA juga perlu dilihat melangkaui pencapaian akademik semata-mata, khususnya dalam menilai keupayaan murid menggunakan pengetahuan untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
“Pendidikan bukan hanya tentang apa yang seorang anak tahu pada usia 15 tahun.
“Pendidikan yang sebenar terlihat pada cara mereka membuat keputusan dan bertindak dalam kehidupan menggunakan ilmu yang mereka sedia ada,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Malaysia mencatatkan 484 mata bagi penyelesaian masalah komputasional dan berada dalam kelompok enam negara yang mencatatkan pencapaian terbaik.
"Kemahiran itu merujuk kepada kebolehan murid memecahkan masalah rumit kepada bahagian lebih kecil, mengenal pasti corak dan maklumat penting serta menyusun langkah bagi menyelesaikannya.
"Keupayaan itu semakin penting ketika kecerdasan buatan (AI) dan enjin carian membolehkan maklumat serta jawapan diperoleh dalam tempoh singkat.
“Apabila mesin semakin pandai memberikan jawapan, manusia mesti semakin pandai bertanya dan menilai,” jelasnya.
Beliau berkata, kemahiran berkenaan turut diterapkan menerusi Kurikulum Persekolahan 2027 sebagai sebahagian usaha menyediakan murid menghadapi keperluan masa hadapan.
Namun, ujarnya, keupayaan murid menggunakan logik dan menyelesaikan masalah masih belum diterjemahkan kepada pencapaian Matematik yang lebih baik.
Justeru jelas Fadhlina, Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik (RTPM) yang telah dimulakan memberi penekanan lebih besar terhadap pemahaman konsep, penaakulan dan penyelesaian masalah.
“Kita tidak mahu Matematik menjadi perlumbaan mencari jawapan. Kita mahu Matematik melatih anak-anak mencari jalan kepada jawapan,” katanya.