Ringkasan AI
- Israel menghadapi kebuntuan politik selepas tiada blok memperoleh majoriti mudah dalam pilihan raya untuk membentuk kerajaan baharu.
- Dua parti Arab memegang baki 19 kerusi dan menjadi penentu, namun masih berdepan tentangan sebagai rakan kerjasama rasmi.
- Presiden Israel akan memulakan rundingan dengan semua parti selepas keputusan rasmi disahkan untuk menentukan calon terbaik membentuk kerajaan.
BAITULMAQDIS: Israel berdepan kebuntuan politik selepas keputusan pilihan raya menunjukkan tiada blok berjaya memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu, sekali gus meletakkan masa depan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam keadaan tidak menentu.
Menurut Al Jazeera, keputusan rasmi dijangka disahkan hari ini, namun rundingan bagi membentuk kerajaan setakat ini masih menemui jalan buntu.
Dalam pilihan raya 27 Oktober lalu, gabungan sayap kanan pimpinan Netanyahu memperoleh 53 kerusi, manakala pakatan pembangkang yang diketuai bekas ketua tentera, Gadi Eisenkot, memenangi 48 kerusi.
Sebanyak 61 kerusi diperlukan untuk menguasai Knesset yang mempunyai 120 anggota.
Laporan Al Jazeera menyebut baki 19 kerusi dimenangi dua parti yang mewakili masyarakat Arab, iaitu Joint List dan Ra'am, yang kini memegang peranan penting dalam menentukan pembentukan kerajaan.
Bagaimanapun, kedua-dua parti Arab itu masih berdepan tentangan sebagai rakan kerjasama rasmi dalam mana-mana gabungan, walaupun terdapat petunjuk mereka bersedia menyokong kerajaan yang dipimpin Eisenkot.
Pada Selasa, beberapa pemimpin pembangkang mengumumkan hasrat untuk segera menubuhkan kerajaan baharu bagi menggantikan pentadbiran Netanyahu, namun tidak menjelaskan bagaimana mereka akan memperoleh sokongan mencukupi untuk mencapai majoriti.
Penganalisis politik Israel, Mitchell Barak, yang dipetik Al Jazeera, berkata kedua-dua blok utama ketika ini mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan, tetapi masih kekurangan sokongan yang diperlukan.
Sementara itu, parti Likud pimpinan Netanyahu terus mempertikaikan keputusan pilihan raya dengan mendakwa berlaku penyelewengan dalam undi yang memihak kepada parti Arab, walaupun dakwaan itu telah ditolak oleh polis selepas siasatan awal.
Menurut Al Jazeera, selepas keputusan disahkan, Presiden Israel Isaac Herzog akan mengadakan rundingan dengan semua parti bagi menentukan ahli Knesset yang mempunyai peluang terbaik membentuk kerajaan.
Netanyahu menegaskan kemenangan Likud sebagai parti terbesar dengan 27 kerusi memberinya mandat untuk mengetuai kerajaan seterusnya.
Namun, pemerhati politik berpendapat beliau sukar memperoleh majoriti tanpa sokongan parti Arab atau pembelotan besar-besaran daripada blok pembangkang.
Dalam masa sama, perhatian turut tertumpu kepada kemungkinan parti ultra-Ortodoks seperti United Torah Judaism (UTJ) atau Shas meninggalkan kem Netanyahu dan menyokong Eisenkot, walaupun senario itu masih dianggap sukar berlaku.
Al Jazeera turut melaporkan bahawa perkembangan politik di Amerika Syarikat serta ketegangan serantau melibatkan Iran berpotensi mempengaruhi rundingan pembentukan kerajaan di Israel.
Knesset baharu dijadual mengangkat sumpah pada 10 November, namun sehingga kini masih belum jelas siapa yang mampu mengumpulkan sokongan mencukupi untuk mentadbir negara itu.