KUALA LUMPUR:Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sekali lagi merayu kepada rakyat Malaysia untuk tinggal di rumah, dan jangan ke mana-mana sepanjang tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam ciapan terbaharu di Twitternya, beliau berkata, rakyat digesa untuk tidak menghadiri aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial, seperti mana yang digariskan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Kerajaan.

Ujarnya lagi, pematuhan kepada SOP amat penting dalam usaha semua pihak menangani gelombang ketiga COVID-19, di kala trend jelas menunjukkan kadar peningkatan yang agresif.

“Saya merayu kepada anda semua terus duduk di rumah. Tempoh dua minggu ini sangat penting untuk kita dan negara,” katanya lagi.


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 bagi menangani gelombang ketiga wabak itu.

Enam negeri yang dikategorikan sebagai negeri PKP ialah – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Beliau berkata, enam negeri yang dikategorikan sebagai PKP Bersyarat (PKPB) pula ialah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, manakala dua negeri di bawah kategori PKP Pemulihan (PKPP) ialah Perlis dan Sarawak.

BACA: COVID-19: PKP di enam negeri zon merah - Perdana Menteri

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak COVID-19.

Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

BACA: Agong perkenan Darurat sehingga 1 Ogos, 2021


 KP Kesihatan, Dr Noor Hisham, Model SEIR, COVID-19, Malaysia


Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memuatnaik gambarajah model Susceptible, Exposed, Infectious and Removed (SEIR) mengenai jangkaan peningkatan kes COVID-19 antara 6 Oktober, 2020, hingga 31 May, 2021.

Berdasarkan model berkenaan, kes-kes harian yang tercatat sudah menjangkaui ramalan yang ditetapkan pada kadar R0 1.1.

Model berkenaan juga menunjukkan kes berkemungkinan akan mencecah sehingga 8,000 sehari jika R0 kekal pada kadar yang sama.



AWANI Pagi: Hari pertama PKP, PKPB & PKPP