JOHOR BAHRU: Sebanyak 423 buah kenderaan diarah untuk berpatah balik daripada memasuki Johor dari tempoh 1 Mei sehingga semalam.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, seramai 129 individu pula telah dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan tidak patuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelasnya, kebanyakan mereka diarah untuk berpatah balik atas sebab tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri atau daerah serta menggunakan surat kebenaran tamat tempoh.

Dalam pada itu polis Johor telah menerima sebanyak 25,222 permohonan merentas negeri dan daerah sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri bermula 5 Mei hingga semalam. 

Permohonan yang diterima dilihat semakin meningkat berbanding 15,200 permohonan pada 28 April hingga 4 Mei lalu.

Ayob berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 529 permohonan telah ditolak.

"Secara keseluruhannya untuk Johor, dari segi permohonan rentas sempadan sempena Hari Raya, memang ada peningkatan.

"Kalau kita lihat dari 28 April hingga 4 Mei, jumlah permohonan adalah 15,200 tapi yang ditolak 202.

"Bagi tempoh 5 Mei hingga 11 Mei terdapat peningkatan 25,222, yang mana daripada jumlah tersebut, 529 permohonan telah ditolak," beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pematuhan SOP di Pasar Awam Larkin, Johor Bahru.

Ayob berkata, polis Johor akan memperketatkan lagi permohonan merentas negeri dan daerah mengikut syarat yang ditetapkan bagi menghadkan pergerakan.