KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima daerah di Kedah berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, PKP di lima daerah itu dilaksanakan berikutan berlakunya penularan jangkitan melibatkan beberapa kluster yang menyumbang kepada peningkatan kes di mukim atau daerah atau zon.

Menurut Ismail Sabri lima daerah yang terlibat adalah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

"Dalam tempoh 14 hari sehingga 29 April 2021, KKM mengesahkan sebanyak 709 kes aktif telah direkodkan di kelima-lima daerah tersebut selepas berlaku penularan jangkitan melibatkan beberapa kluster yang menyumbang kepada peningkatan kes di mukim/daerah atau zon.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di lima daerah tersebut seperti yang dinyatakan berkuat kuasa 1 Mei sehingga 14 Mei 2021," katanya dalam kenyataan berhubung pelaksanaan PKP pada Jumaat

Kata beliau, Pelaksanaan PKP ini bertujuan untuk menyekat penularan jangkitan COVID-19 dari kawasan berisiko ke kawasan lain memandangkan kebolehjangkitan, kapasiti kesihatan awam, makmal dan hospital di Kedah semakin meningkat.