Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac telah membawa kepada pengurangan sebanyak 43 peratus jumlah sampah yang dikeluarkan daripada Sungai Klang.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), Syaiful Azmen Nordin dalam kenyataan pada Isnin berkata dari 15 Mac sehingga 15 April, sebanyak 580 tan metrik (MT) sampah dikumpul menerusi projek "Selangor Maritime Gateway" (SMG) berbanding purata 900 hingga 1,200MT sebulan dalam tempoh enam bulan lepas.

Beliau berkata bagi tempoh itu, Sungai Klang mencatatkan bacaan Indeks Kualiti Air (WQI) Kelas III hampir 90 peratus daripada masa pemantauan berbanding pada tahun lepas sehingga Mac, dan walaupun secara keseluruhannya bacaan WQI pada Kelas III adalah baik, ia hanya kira-kira 46 peratus daripada masa pemantauan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa meminimumkan pergerakan orang ramai dan operasi perniagaan dapat membantu memulihkan sungai seperti ditunjukkan oleh frekuensi lebih tinggi WQI Kelas III.

"Apa yang lebih penting ia meningkatkan lagi kualiti air, berikutan data antarabangsa menunjukkan air bersih adalah faktor utama bagi pertumbuhan ekonomi," katanya.

BACA: 'Interceptor' mula operasi bersihkan Sungai Klang

BACA: Projek Gerbang Maritim berjaya pulihkan Sungai Klang

LLSB diberi mandat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk memulihkan Sungai Klang menerusi pembersihan dan pemuliharaan menerusi projek SMG.

-- BERNAMA