Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu berjaya meratakan lengkungan pandemik di negara ini.

Menurut beliau, ia berdasarkan jumlah kes positif jangkitan COVID-19 harian yang menunjukkan trend menurun dan kadang-kala mendatar serta peningkatan kes yang pulih sekali gus menjadikan jumlah kes aktif semakin menurun sepanjang fasa ketiga PKP.

“Pelaksanaan PKP fasa ketiga akan memasuki fasa keempat esok iaitu 29 April.

“Dengan peningkatan kes-kes yang pulih daripada COVID-19, ini menjadikan jumlah kes aktif semakin menurun sepanjang fasa ketiga PKP.

“Ini sekali gus berjaya meratakan lengkung dan negara kita kini memasuki fasa pemulihan,” katanya dalam sidang media harian pada Selasa.

Beliau berkata pencapaian tersebut adalah hasil tindakan proaktif dan agresif kerajaan dalam aktiviti-aktiviti pembendungan penularan COVID-19 sepanjang tempoh sebelum dan semasa PKP.

Menerusi langkah-langkah yang diambil, katanya, ia dapat memastikan fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menampung bilangan pesakit COVID-19 di negara ini, termasuk kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kapasiti penggunaan mesin bantuan pernafasan (ventilators) di hospital.

“PKP membantu mengurangkan interaksi antara masyarakat dan mengurangkan kebolehjangkitan COVID-19.

“Selain aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection), KKM bersama pelbagai agensi telah menggunakan pendekatan tertumpu (targeted approach) bagi kumpulan yang berisiko tinggi.

“Ini termasuk tindakan pengesanan, penyaringan, ujian, isolasi dan rawatan bagi individu di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pengesanan peserta-peserta perhimpunan di Sri Petaling selain perhimpunan besar-besaran, pengesanan sekolah serta madrasah tahfiz dan sebagainya,” tambahnya.

Terdahulu, beliau mengumumkan terdapat satu lagi kes kematian akibat pandemik COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 100 kes.

Setakat 12 tengah hari Selasa, KKM turut merekodkan 31 kes positif baharu sekali gus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 5,851 kes.