Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 14 April ini berkemungkinan besar akan dilanjutkan.

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi esok.

Katanya, larangan menghadkan tiga orang untuk solat berjemaah masih lagi berkuatkuasa sementara kariah lain masih boleh berjemaah di rumah masing-masing bersama ahli keluarga.

"Selain itu, program Rakyat Selangor bermunajat juga diteruskan namun pelaksanaannya hanya boleh dilakukan di kediaman masing-masing," katanya pada sidang akhbar di IPK Selangor di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Mohd Ismail menambah, sehingga tengah malam Rabu, IPK Selangor menerima 980 laporan dengan penahanan 1,430 individu termasuk 85 wanita yang ingkar perintah itu.

Daripada jumlah itu katanya, 75 kes telah dituduh di mahkamah termasuk bagi kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan pengawalan.

BACA: Lanjutkan PKP sehingga selepas Aidilfitri - AMM

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dalam operasi yang bermula pukul 4 petang hingga tengah malam Rabu, polis mengeluarkan 24 saman.

"Bermula malam ini beberapa jalan di daerah Petaling Jaya yang dikategorikan di zon merah akan ditutup bagi membataskan pergerakan penduduk setempat," jelasnya.

"Selain itu kita juga akan meningkatkan pemeriksaan snap check di semua daerah di Selangor," jelasnya.

Setakat ini beliau memberitahu, hanya satu lokasi di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, iaitu Batu 21 hingga 24 Sungai Lui Hulu Langat yang dikategorikan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau menambah, sebanyak sembilan hotel termasuk hotel bertaraf lima bintang dijadikan sebagai pusat kuarantin dengan kapasiti 2,914 orang.

"Saya juga ingin menasihati orang ramai supaya berada di rumah sepanjang tempoh PKP yang diwartakan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan wabak pandemik ini," ujarnya.