Mereka tidak pernah meminta dan menagih simpati, sebaliknya dengan kudrat yang diberikan Allah, lima orang kurang upaya (OKU) di Bengkel Jaya Diri di sini, berusaha gigih mencari pendapatan sendiri.

Dua di antara mereka pekak dan bisu, dua dikategorikan lembam, manakala seorang lagi tiada kaki sejak dilahirkan.

Menurut Ketua Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat Daerah Kubang Pasu, Hasni Dahaman, 45 tahun, mereka tinggal di bengkel ini sejak 20 tahun lalu, hasil pemberian Jabatan Kebajikan Masyarakat Kubang Pasu.

Namun, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam usaha mengekang penularan COVID-19, mata pencarian mereka terhenti.

Malah, tambah perit lagi, mereka tidak mendapat sebarang bantuan makanan daripada mana-mana pihak sehingga Ramadan yang kini memasuki hari kelapan.

Jelas Hasni, setiap hari mereka akan berkongsi wang yang dikumpulkan satu sama lain untuk membeli barangan keperluan seperti beras, telur dan sayur bagi dijadikan juadah berbuka.

"Memang agak terbatas dari segi pergerakan, dari segi kemudahan untuk saya guna, tetapi memandangkan macamana sekali pun, kita kena ikut juga (PKP), sebab ini arahan.

"Kerugian memang banyak. Kerugian dari segi tempahan, pendapatan, semua itu," kata Hasni.

Salah seorang OKU menjahit beg untuk kegunaan petugas barisan hadapan. - Foto Astro AWANI

Namun, jelasnya, bagi meneruskan kelangsungan hidup, mereka mencari sumber pendapatan sendiri dengan menerima tempahan menjahit beg bagi kegunaan pasukan barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hasni dan empat rakannya yang lain Norshahida Saidin, 43 tahun, Siti Hajar Ayob, 46 tahun, Siti Khotijah Romli, 26 tahun, dan Fazliana Putih, 39 tahun, akan menyiapkan seberapa banyak tempahan yang termampu.

Dua di antara lima OKU ini pekak dan bisu, dua lembam, manakala seorang lagi tiada kaki sejak dilahirkan. - Foto Astro AWANI

Bagaimanapun, pergerakan mereka yang terbatas membuatkan mereka hanya mampu menyiapkan tempahan lima beg sahaja sehari.

"Keuntungan sebulan tak menentu, sebab, ia bergantung pada tempahan. Tempahan pula terhad, untuk saya ambil dalam keadaan sekarang.

"Kita tak boleh ambil banyak (tempahan)," kata Hasni, sambil menerangkan rakan-rakannya yang OKU lembam tidak mampu melakukan kerja dengan pantas seperti orang biasa.

Pergerakan mereka yang terbatas membuatkan mereka hanya mampu menyiapkan tempahan lima beg sahaja sehari. - Foto Astro AWANI

Prihatin dengan keadaan yang ditanggung OKU ini, Persatuan Belia Generasi Muda Negeri Kedah tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang digalas lima OKU ini.

Pengerusinya Datuk Hasmuni Hassan pada Khamis membawa bersamanya bahan mentah seperti ayam, ikan, sayur, beras, tepung, gula dan barangan keperluan lain untuk mereka mengalas perut sepanjang Ramadan dan PKP ini.

Hasni berkata kelima-lima mereka tinggal di bengkel ini sejak 20 tahun lalu. - Foto Astro AWANI

"Saya difahamkan mereka ini bergerak secara sendiri. Adalah sedikit sebanyak barang makanan basah dan barang makanan kering yang kami bawa untuk membantu mereka.

"Pengendali di sini tidak mempunyai anggota badan yang lengkap seperti kita," kata Hasmuni.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun CIMB 8601680400 atas nama Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat Daerah Kubang Pasu.