KAPIT:Garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan akan dipatuhi sepenuhnya warga Kapit serta Song dalam usaha mengekang penularan wabak itu.

Menerusi tinjauan Astro AWANI di dua daerah itu, rata-rata telah membuat persiapan lebih awal susulan pelaksanaan PKP yang bermula hari ini sehingga 15 Februari 2021.

Menurut Kennedy Endy yang merupakan penduduk rumah panjang Sungai Sibau di Kapit, walaupun PKP sudah dikuatkuasakan tetapi mereka masih boleh mendapatkan barangan keperluan dengan syarat mematuhi SOP yang digariskan.

“Kami di rumah panjang ini sudah dimaklumkan tentang SOP yang digariskan oleh pihak penguatkuasaan dan faham akan tindakan susulan yang perlu kami lakukan.

“Setakat ini untuk membeli barangan, dua orang masih dibenarkan dan saya pasti rantaian penularan COVID-19 akan berjaya diputuskan sekiranya masyarakat terus memberi kerjasama,” kata Kennedy.

BACA: Tahap pematuhan PKP di Kapit dan Song tinggi

Bagi Kinoshita Ngalang yang merupakan penduduk Kampung Takan Kebiau di Song pula, warga Song peka dengan keadaan semasa dan sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan wabak ini.

“Kami penduduk di Song sentiasa mengamalkan pemakaian pelitup muka, mencuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman setiap kali keluar mendapatkan barangan keperluan.

“Walaupun Song sedang menjalani arahan PKP, namun kami tetap bersyukur kerana barangan keperluan masih boleh dibeli dengan syarat patuh kepada SOP ditetapkan,” kata Kinoshita.


Penduduk faham arahan PKP

Manakala bagi Nizam Mulhayat Abdul Rani yang juga penduduk Kampung Takan Kebiau di Song, dia sudah membuat segala persiapan dengan membeli barangan keperluan untuk tempoh dua minggu sebelum PKP dikuatkuasakan.

“Sebelum arahan pelaksanaan PKP yang bemula hari ini, kami sekeluarga sudah membeli semua barangan keperluan.

“Langkah ini bagi memastikan kami terus berada di rumah sepanjang tempoh ini dan membantu memudahkan tugas pihak penguatkuasaan serta tidak perlu berulang-alik membeli barangan keperluan lain,” kata Nizam.

Kapit pada Isnin dikategorikan sebagai zon merah selepas mencatat 41 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari.

Manakala Song dikategorikan sebagai zon merah pada Jumaat selepas merekodkan 54 kes positif COVID-19.