Kerajaan tidak pernah menetapkan 1 hingga 3 Mei ini sebagai tarikh pergerakan antara negeri sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai mana yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bermula 1 Mei ini, orang ramai yang ingin pulang dari kampung ke bandar boleh membuat permohonan sama ada melalui aplikasi Gerak Malaysia atau di balai polis berhampiran.

Susuan itu, kata beliau, segala input serta maklumat akan dikumpulkan dan dibincangkan untuk ditentukan prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian.

“Terima kasih kepada pihak PDRM (Polis Diraja Makaysia), kerana walaupun belum bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka sudah cadangkan beberapa SOP yang saya kira amat baik, tetapi masih perlu dibincang dengan MKN dan KKM (Kementerian Kesihatan).

“Selepas mengemukakan SOP tersebut, cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat khas menteri untuk diluluskan. Dan apabila sudah lulus barulah pergerakan boleh dilakukan,” katanya dalam sidang media harian PKP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pergerakan berskala besar itu harus tidak bersifat terus, sebaliknya harus diperhalusi dengan mengambil kira beberapa kemungkinan.

Sebagai contoh, beliau berkata, ada kes di mana satu keluarga mempunyai lima ahli, tetapi peraturan tidak membenarkan lima individu dalam satu kenderaan.

Tidak ketinggalan, terdapat juga kes golongan yang tiada kenderaan sendiri.

“Setiap kereta, hanya satu pemandu sahaja. Sedangkan ada lima ahli keluarga. Jadi kesemua ahli keluarga itu boleh ke atau tidak? Takkan (ketua keluarga) nak tinggal kan keluarganya di kampung?.

“Kes yang tiada kenderaan, bolehkan disewa bas? Banyak perkara yang perlu dibincangkan. Ini perkara yang perlu dibincangkan dan kerana isu ini besar, selain mesyuarat khas menteri pagi, kena bawa ke jawatankuasa khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya lagi.