KUALA LUMPUR: Ramai wanita terkesan dari segi fizikal dan emosi dalam tempoh setahun yang lalu, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Itu antara dapatan Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA).

Laporan itu turut menyebut secara keseluruhannya responden merasakan beban rumah tangga meningkat semasa PKP kerana lebih banyak orang tinggal di rumah untuk tempoh yang lebih lama.

"Ini mengakibatkan wanita rasa tertekan dan penat. Beban ini terus dirasai semasa PKP 2.0 apabila banyak ahli keluarga belum dapat memulakan kegiatan ekonomi atau pendidikan di luar rumah.

"Kesan yang dialami oleh golongan wanita lazimnya tidak sama seperti kumpulan lelaki," memetik laporan itu.

Ia turut menyebut, keluarga yang diketuai wanita misalnya lebih teruk terkesan berbanding sampel keseluruhan.

Mereka pada masa sama menanggung sebahagian besar beban tanggungjawab menjaga keluarga.

Ia lazimnya memberi kesan besar kepada kesejahteraan fizikal dan mental mereka yang mungkin mempunyai kesan jangka panjang kepada mereka dan anak-anak mereka.

Projek kajian Keluarga di Pinggiran ditaja oleh UNICEF dan UNFPA itu adalah bagi membantu penggubalan dasar dan menggalakkan wacana umum mengenai kesan pandemik COVID-19 ke atas wanita dan kanak-kanak dalam keluarga berpendapatan rendah di bandar di Malaysia.

Projek ini melibatkan kajian ke atas 500 keluarga berpendapatan rendah yang mendiami 16 perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.