KUALA LUMPUR:Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah berkuatkuasa 18 Oktober sehingga 31 Oktober ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan cadangan MKN Kedah mengenai situasi di kampung tersebut.

“Sidang Khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Padang Che Mas daerah Baling yang akan berkuatkuasa 18 Oktober 2020 sehingga 31 Oktober 2020.

“PKPB ini akan melibatkan seramai 1,150 penduduk dan 151 buah rumah di kawasan tersebut,” katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.


Katanya, sehingga 12 Oktober lalu, seramai 236 individu telah disaring secara bersasar dan diberikan arahan kuarantin wajib selama 14 hari di rumah dan memakai gelang kuarantin.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 25 kes positif COVID-19 telah direkodkan melibatkan lima buah keluarga dan 100 masih menunggu keputusan saringan,” tambahnya.

Dengan pelaksanaan perintah ini semua penduduk dikehendaki mematuhi SOP yang ditetapkan antaranya:

• Tiada pergerakan keluar masuk ke Kampung Padang Che Mas.

• Hanya dua orang saja wakil yang dibenarkan bagi sebuah rumah untuk keluar mendapatkan bekalan makanan dan barang keperluan.

• Penutupan sekolah dan pusat pengajian termasuk pondok pengajian.

• Semua aktiviti keagamaan di masjid, surau tidak dibenarkan kecuali laungan azan lima waktu dan solat fardu dengan jumlah enam orang jemaah termasuk muazzin dan imam.


• Rumah ibadat bukan Islam turut tidak dibenarkan.

• Restoran, kedai/gerai makan dan kedai runcit dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 8.00 malam.

• Pembelian makanan digalakkan secara penghantaran dan take-away (bungkus). Walau bagaimanapun, dine in (makan di kedai) dibenarkan terhad kepada 2 orang atau maksimum 4 orang satu meja dengan pematuhan SOP premis makanan.

• Kenderaan yang membawa barangan yang berkaitan dengan rantaian makanan boleh dibenarkan beroperasi seperti biasa.

• Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, budaya, majlis rasmi, keramaian, kenduri dan sebagainya adalah tidak dibenarkan.

• Aktiviti perikanan, perladangan, pertanian dan penternakan dibenarkan.

Katanya lagi, mereka yang terlibat dalam PKPB ini boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang MKN.