KUALA LUMPUR:Mesyuarat Khas Menteri-Menteri hari ini bersetuju melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam 7 Oktober.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan.

"Hanya Perkhidmatan Perlu (Essential Service) termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu adalah dibenarkan.

"Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini selepas pembentangan situasi semasa COVID-19 di seluruh negeri Sabah yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan cadangan-cadangan dari kerajaan Negeri Sabah.

Sebelum ini, kawalan rentas daerah di seluruh Sabah dilaksanakan bermula 3 sehingga 16 Oktober depan.

BACA: COVID-19: Kes meningkat tiga angka, semua sekolah dan IPT di Sabah diarah tutup - Hajiji

Berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-202 dan hari ke-118 PKPP, berikut merupakan lima perkara penting yang dinyatakan Ismail menerusi satu kenyataan akhbar, hari ini.

1) Seramai 979 individu atas kesalahan ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

2) Daripada jumlah itu, 32 ditahan reman, manakala 944 lagi dikenakan kompaun.

3) Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka (163), tidak menjaga penjarakan fizikal (516) dan melakukan aktiviti dalam pub atau kelab malam (7).

4) Pihak berkuasa berjaya menahan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong dan seorang penyeludup menerusi Op Benteng.

5) Setakat 4 Oktober, seramai 8,698 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara, manakala 106 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.