Untuk sidang media hari ini, perkembangan positif dapat dilihat apabila jumlah kenderaan yang diperiksa dalam operasi sekatan jalan merentas negeri menunjukkan penurunan.

Bagi mereka yang tertinggal sidang media bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berikut antara tumpuannya:

1. Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat 76,348 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi Ssandard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

2. PDRM mengenakan 138 Sekatan Jalan Raya (SJR) Rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 267,373 kenderaan berbanding 283,677 kenderaan hari sebelumnya.


3. Sebanyak 93 kenderaan diarah berpatah balik atas cubaan rentas negeri tanpa kebenaran. Negeri catat cubaan rentas negeri yang tertinggi adalah: Pahang (38), Melaka (27) dan Selangor (24).

4. PDRM menahan 56 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB. Daripada jumlah itu, seramai 46 individu direman manakala 10 individu dijamin polis.

5. Pendandan rambut atau juru solek yang bertugas untuk industri penggambaran perlu memakai 'face shield', sarung tangan dan peralatan hanya untuk seorang individu sahaja - tidak boleh dikongsi.