Semua penduduk di kawasan Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur yang dikenakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sepatutnya menerima agihan makanan, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, jika ada penduduk yang tidak menerimanya, ia mungkin berpunca daripada salah faham dan boleh diselesaikan segera kerana petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), turut berada di kawasan itu.

Ismail bagaimanapun berkata, pihaknya mengambil maklum isu yang timbul termasuk yang menjadi tular di laman sosial dan mengarahkan JKM serta DBKL menyelesaikannya segera hari ini.

“Sebenarnya pengagihan makanan berlaku... tetapi mungkin ada yang tertinggal, terlepas waktu pengagihan dilakukan.

"Penghuni di kawasan Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong KL boleh menghubungi pusat operasi jika ada apa jua isu atau permasalahan.

(Ini termasuk) penduduk yang ada masalah untuk membeli barang keperluan lain seperti susu bayi, lampin dan lain-lain... mereka boleh menghubungi pusat operasi berkenaan.

"Mereka yang berhasrat untuk mendapatkan barang makanan selain daripada yang dibekalkan kerajaan juga boleh hubungi pusat operasi,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sepatutnya tidak timbul sebarang isu yang perlu diperbesarkan kerana pegawai JKM sentiasa berada di sana untuk membantu mereka.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP DBKL di 03-4026 7222 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-4048 2212.