KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 23 lagi lokaliti di Terengganu dan Sabah, bermula 3 hingga 16 Ogos depan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, memaklumkan keputusan itu dibuat setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Hishammuddin berkata, PKPD di Terengganu membabitkan 20 lokaliti di mukim Sura dan Kuala Dungun di Dungun selain satu di mukim Jabi, Besut.

Lokaliti di mukim Sura ialah Batu 5, Sura Tengah, Alor Tempoyak, Taman Rakyat Jaya, Taman Delima Batu 6, Balai Besar, Sura Melati, Batu 7, Paya Balai Besar, Pak Sabah dan Sura Lapangan Terbang.

"Sembilan lokaliti di mukim Kuala Dungun ialah Kubang Miang, Teratai, Teluk Lipat, Alor Tembesu, Sura Utara, Batu 48, Sura Gate, Bukit Chatak dan Tembesu Akar. 

"Satu lagi lokaliti di mukim Jabi ialah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Anak Ikan," katanya dalam kenyataan harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad.

Hishammuddin berkata, dua lokaliti di Sabah membabitkan Perumahan Ladang Hibumas 2 di Beluran dan Kampung Tagibang di Kota Marudu.

Selain itu, Hishammuddin juga memaklumkan PKPD di enam lokaliti di Kelantan dan Sabah yang sepatutnya tamat pada 2 Ogos, dilanjutkan sehingga 16 Ogos depan.

"Dua lokaliti di Kelantan membabitkan Kampung Lepah dan Kampung Alor Hijau di mukim Bukit Jawa di Pasir Puteh, manakala empat lokaliti di Sabah membabitkan Ladang Agathis di Kalabakan, Kampung Nosoob di Penampang, Kampung Gunung di Likas dan Kampung Bakalau di Beaufort," katanya.

Selain itu, beliau juga memaklumkan penamatan PKPD di 27 lokaliti di Pahang, Perak dan Sabah pada 2 Ogos.

"PKPD di Pahang yang ditamatkan adalah di Kampung Orang Asli Ruai, Batu Talam di Raub.

"Di Sabah, ia membabitkan Kampung Serudung Baru di Tawau, Kampung Muhibbah di Beaufort dan Kampung Dandulit Matunggong di Kudat.

"Selain itu, Apartment Seri Maju di Kota Kinabalu; Kampung Simpangan di Kota Marudu; QL Farm Breeder, Jalan Stesen TV dan Kuarters Pekerja Onika Kuari di Tawau; dan Taman Zifa, Bingkul di Beaufort.

"Taman Teluk Likas, Taman Kurnia Jaya dan Kuarters Kilang Permai Jaya di Kota Kinabalu; Kampung Long Kiangan, Kampung Ranau-Ranau, Kampung Solob dan Kampung Tunas Baru di Sipitang," katanya lagi.

Hishammuddin memaklumkan 16 lokaliti di Perak membabitkan Taman Tapah, Taman Bunga Raya, Kampung Datuk, Taman Sri Tapah, Kampung Baru, Kampung Pahang, Kampung Tanah Mas, Taman Sri Damai 1 dan Taman Sri Damai 2, Taman Asoka, Taman Batu 5 Tapah Road, Kampung Batu Melintang, Taman Tapah 2 dan Kampung Baru Pekan Getah.

"Tiga lokaliti di Mukim Bidor di Batang Padang melibatkan Taman Awam 3 Bidor/Taman Permata Bidor, Taman Sri Bidor dan Taman Bidor Jaya/Kg Cegar Tambahan/Kg Cegar.

"Dua lokaliti di Mukim Batu Kurau di daerah Larut, Matang dan Selama membabitkan Kampung Batu 19 setengah dan Kampung 20," katanya.

Hishammuddin memaklumkan satu lagi lokaliti di Perak yang ditamatkan PKPD membabitkan Taman Melor Fasa 1 di Hilir Perak.