Skip to main content

Malaysia

Tahanan rumah Najib: UMNO lancar tabung, bantu lunas denda RM50 juta - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Jan -- Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi hari ini bagi menyambung perbicaraan berhubung kes saman SRC International Berhad dan Gandingan Mentari Sdn Bhd.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: UMNO mengambil inisiatif melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan itu terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan secara sukarela.

Jelasnya, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara telus dan teratur, selain mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“UMNO juga dengan ini mengambil inisiatif untuk melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu meringankan beban Datuk Seri Mohd Najib dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Zahid turut menyeru seluruh ahli parti supaya menjaga adab dalam setiap ungkapan serta menghormati segala proses yang ditetapkan susulan keputusan membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Beliau menyambut perkembangan itu dengan penuh kesyukuran, selain menzahirkan penghargaan atas kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim pada Jumaat berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang diadakan hari ini.

Must Watch Video

Advertisement