KUALA LUMPUR: Dua lokaliti di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 20 September sehingga 3 Oktober.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, dua lokaliti itu ialah Kampung Orang Asli Sungai Koi di Jerantut dan Kampung Orang Asli Ulu Pareh di Bentong.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) PKPD bagi kedua-dua kawasan tersebut adalah sama seperti diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, katanya kerajaan juga melanjutkan PKPD di Taman Pantai Lok Kawi di Papar, Sabah yang sepatutnya tamat esok, kepada 4 Oktober.

 
Sumber Facebook KPMKNJPM

Dalam pada itu, empat lokaliti di Sabah dan satu di Johor ditamatkan PKPD berkuat kuasa esok, mengikut jadual ditetapkan.

Di Sabah, lokaliti tersebut ialah Kampung Buanog Matunggong di Kudat; Kampung Tetabuan di Beluran; Kampung Magatang di Keningau dan Kampung Kilanas di Ranau.

Di Johor pula, lokaliti terbabit adalah Kampung Nelayan Benut, Pontian yang mula dikenakan PKPD pada 31 Ogos lepas.