Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Tiada laporan pelajar Malaysia di Indonesia terjejas - Zambry

Zambry kadir di PAU
Zambry (foto) berkata KPT akan terus memantau perkembangan keadaan berkenaan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan beberapa ribu pelajar Malaysia di Indonesia. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) setakat ini belum menerima sebarang laporan mengenai pelajar Malaysia di Indonesia yang terjejas akibat jerebu atau letusan gunung berapi di negara itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir bagaimanapun berkata KPT akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar Malaysia di Indonesia.

Beliau berkata pemantauan dibuat secara berterusan di seluruh Indonesia, termasuk Sumatera, Jawa dan Sulawesi, berikutan keluasan negara itu yang merangkumi banyak kawasan kepulauan.

"Saya mengambil maklum tentang keadaan yang berlaku di Indonesia berikutan jerebu yang berpanjangan.

"Pihak KPT memantau sepanjang masa keadaan di seluruh kawasan kerana kita mempunyai beberapa ribu pelajar yang belajar di sekitar Indonesia.

"Sehingga saat ini belum ada laporan yang berkaitan dengan keseriusan kesihatan walaupun keadaan jerebu serius di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Sabtu.

Zambry berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan mengenai tahap keseriusan situasi tersebut, yang turut bergantung kepada keadaan semasa dan keputusan institusi pengajian masing-masing.

Menurutnya, wakil Education Malaysia (EM) di Indonesia turut ditugaskan untuk menyalurkan maklumat terkini kepada KPT, termasuk perkembangan jerebu dan kesannya terhadap pelajar Malaysia.

"Kalau universiti-universiti itu mempunyai masalah yang serius, maka mungkin universiti berkenaan akan ditutup dan ia juga akan melibatkan pelajar-pelajar kita," katanya.

Zambry berkata KPT turut mendapatkan maklumat mengenai kesan jerebu terhadap kesihatan pelajar Malaysia menerusi wakil EM di Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini tiada laporan diterima berhubung masalah kesihatan serius dalam kalangan pelajar Malaysia walaupun keadaan jerebu di sesetengah kawasan dilaporkan serius.

"Dari segi masalah kesihatan dan sebagainya, kita telah maklumkan kepada pihak EM untuk maklumkan kepada kita sama ada ia benar-benar serius terhadap kesihatan mereka," ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement