Skip to main content

Dunia

Jadual padat di New Delhi punca persinggahan Tamil Nadu dibatal - Ramanan

Dato Sri Ramanan Ramakrishnan
Datuk Seri R Ramanan menegaskan, dakwaan berniat jahat kononnya Perdana Menteri tidak dialu-alukan ke negeri itu merupakan naratif palsu yang cuba dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

NEW DELHI: Pembatalan jadual persinggahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Tamil Nadu berpunca daripada isu penyelarasan jadual yang padat dan bukannya disebabkan penolakan oleh mana-mana pihak seperti didakwa segelintir portal berita tempatan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan menegaskan, dakwaan berniat jahat kononnya Perdana Menteri tidak dialu-alukan ke negeri itu merupakan naratif palsu yang cuba dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Ramanan, jadual kerja Perdana Menteri sepanjang menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi amat ketat, melibatkan siri pertemuan dua hala berprofil tinggi bersama pemimpin kuasa besar dunia yang memerlukan penyelarasan masa teliti.

"Sebab utama acara itu dibatalkan bukan kerana mana-mana pihak, tetapi akibat kekangan jadual (scheduling issue).

"Bukan setiap hari kita berpeluang duduk dan mengadakan mesyuarat dua hala bersama pemimpin negara seperti Presiden Vladimir Putin dari Rusia, Perdana Menteri Narendra Modi (India), Presiden Masoud Pezeshkian (Iran), serta pimpinan Ethiopia, selain mesyuarat perniagaan empat mata bersama syarikat-syarikat gergasi," katanya kepada media Malaysia di sini hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Ramanan berkata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Pejabat Ketua Menteri Tamil Nadu sebelum ini telah berusaha memuktamadkan tarikh yang sesuai, namun kedua-dua pihak bersepakat menggugurkan kunjungan itu susulan pertindihan komitmen rasmi yang tidak dapat dielakkan.

Jadual Perdana Menteri selepas New Delhi memerlukan beliau berlepas ke Kerala bagi mengadakan pertemuan bersama Gabenor dan Ketua Menteri negeri tersebut, sebelum meneruskan lawatan kerja ke Maldives untuk bertemu Presiden negara berkenaan, dan seterusnya pulang segera ke tanah air menjelang sambutan Hari Malaysia.

Menzahirkan kekecewaan terhadap portal berita yang sengaja mensensasikan perkara itu, Ramanan mengingatkan semua pihak agar tidak menggadaikan kepentingan serta maruah negara di pentas antarabangsa demi agenda politik sempit.

"Kita menjangkakan perkara sebegini (hanya) daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, dan sebab itu saya mahu perbetulkan fakta agar dakyah berita palsu ini dihentikan.

"Jangan gunakan politik semata-mata berniat mahu merosakkan imej Perdana Menteri, kerana tindakan sedemikian sebenarnya merosakkan nama negara. Dahulukan negara, politik nombor dua," tegas beliau.

Ramanan turut menambah bahawa tumpuan kerajaan ketika ini terarah kepada memastikan segala perbincangan strategik dan pelaburan berimpak tinggi yang dimeterai di New Delhi membuahkan hasil nyata demi faedah ekonomi rakyat.

Must Watch Video

Advertisement