KUALA LUMPUR:Kerajaan hari ini bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah, Perak dan kuarters kakitangannya.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan itu bermula 16 Februari sehingga 1 Mac ini.

"Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 187 ujian saringan ke atas kontak rapat dan daripada jumlah itu, sebanyak 55 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan turut bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Sungai Udang Melaka Tengah, Melaka bermula 17 Februari sehingga 2 Mac ini. 

Bagaimanapun, PKPD di kuarters kakitangannya tidak dilanjutkan dan akan tamat esok, seperti dijadualkan.

"KKM mengesahkan peningkatan kes masih berlaku dalam kalangan tahanan dan terdapat baki 21 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

"Bagaimanapun, penularan kes positif COVID-19 ini tidak melibatkan kakitangan dan ahli keluarga yang tinggal di kuarters," katanya.

Sementara itu, arahan PKPD di Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1 Felda Bersia, Hulu Perak, Perak; Kampung Sungai Ud, Dalat, Sarawak dan Felcra Nasaruddin, Perak Tengah, Perak akan tamat esok, seperti yang dijadualkan sebelum ini.