Keputusan pewartaan sebarang kawasan untuk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak terletak dalam tangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebaliknya, jelas beliau lagi, tindakan pewartaan itu dilakukan sekiranya ada nasihat yang mempunyai asas yang kukuh dari KKM, dan keputusan akhir terletak di tangan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jadi kita memberi nasihat dan juga kerjasama dengan MKN. Jadi apa yang diumumkan itu memang kita ikut arahan dari Menteri Kanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Di pihak kementerian, kita tidak keluarkan sebarang arahan, tindakan itu adalah tindakan MKN,” katanya lagi dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai mengapa PKPD ke-6 melibatkan Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, tetapi pasar borong itu sendiri masih dibenarkan beroperasi.


Terdahulu, Ismail Sabri dalam sidang medianya memberi jaminan bekalan barang basah yang didapati dari Pasar Borong Kuala Lumpur, turut dikenali sebagai Pasar Borong Selayang, tidak akan terjejas kerana pasar itu masih beroperasi.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kementerian menggesa warga asing yang telah tamat pas lawatan dan pas kerja, untuk turut tampil ke depan di mana-mana klinik kerajaan untuk menjalani saringan COVID-19.

“Fokus KKM adalah untuk memaastikan mereka tidak dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Kita perlu laksanakan ujian untuk mereka,” katanya lagi.