TERKESAN dengan jumlah hutang negara yang mencapai angka RM1 trilion, seorang rakyat Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan satu kutipan dana bagi membantu kerajaan.

Inisiatif kutipan dana awam "Please Help Malaysia!" itu diwujudkan sebagai usaha mendapatkan bantuan kewangan daripada orang ramai untuk sama-sama membantu menyelesaikan hutang tersebut.

Usaha yang diperintis aktivis Nik Shazarina Bakti, 27 tahun, walaupun secara tidak rasmi, berjaya menarik perhatian netizen yang turut prihatin dengan masalah negara ketika ini.

Setakat ini, kutipan dana yang dianjurkan di laman web gogetfunding.com ini berjaya mengumpul $3,633.00 (RM14, 463) daripada jumlah yang disasarkan sebanyak $100,000.00 (RM398,100) sehingga 31 Julai depan.

Lebih menarik, wanita berkelulusan Sarjana Undang-Undang daripada University of London ini turut meletakkan potongan ayat yang mengimbau kembali kenangan manis tatkala rakyat Malaysia satu ketika dahulu bergolok bergadai bagi mengumpul dana membolehkan Tunku Abdul Rahman ke London bagi memperoleh kemerdekaan negara.

Nik Shazarina turut menjelaskan bahawa kesemua kutipan dana tersebut akan disalurkan secara terus kepada kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, aktivis terkenal Marina Mahathir memuji tindakan Nik Shazarina dan menggesa orang ramai untuk sama-sama membantu inisiatif ini.