Syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperkenalkan chatbot pertama bagi mengendalikan maklum balas mengenai perkhidmatan lebuh raya secara digital dinamakan sebagai 'PUTRI'.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, PUTRI direka untuk berinteraksi dengan pelanggan lebuh raya dari semasa ke semasa melalui ciri kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin yang dijangka mampu mengendalikan lebih 70 peratus daripada 1,500 panggilan harian, yang diterima Pusat Pemantauan Trafik PLUS (TMC).

Menurut kenyataan itu, PUTRI berupaya memberikan pelbagai maklum balas berkaitan dengan perkhidmatan lebuh raya PLUS secara serentak seperti kadar tol, maklumat trafik terkini, pertanyaan mengenai PLUSMiles, produk, kemudahan, promosi dan insiden.

"Menerusi bantuan PUTRI, petugas TMC berupaya memberi lebih fokus terhadap panggilan kecemasan dan koordinasi bantuan dengan lebih lancar untuk membantu pelanggan yang berdepan kesulitan di lebuh raya.

"PUTRI dapat diakses dan digunakan dengan mudah kerana ia bertindak untuk memberikan respons dengan lebih pantas dan mampu untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan lebuh raya," kata kenyataan itu.

Pengguna boleh berinteraksi dengan PUTRI Versi Beta sepanjang tempoh ujian rintis yang dilancarkan pada 27 April lepas dalam laman web PLUS (www.plus.com.my) dan portal PLUSMiles (www.plusmiles.com.my) serta Aplikasi Plus, selain bakal disediakan menerusi platform Media Sosial dan aplikasi WhatsApp dengan kemampuan secara dwibahasa.

PUTRI dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2020 dan PLUS mengajak pelanggan lebuh raya untuk berinteraksi dengan PUTRI bagi meningkatkan proses perkembangannya di samping dapat membantu PLUS meningkatkan keupayaan teknikalnya.

-- BERNAMA