SEPANG: Persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan negara-negara Islam seluruh dunia perlu dieratkan dalam menangani permasalahan umat Islam global termasuk isu kezaliman Israel ke atas Palestin.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata persaudaraan yang terjalin perlu mengatasi semua perbezaan yang ada memandangkan isu tersebut adalah tanggungjawab yang dipikul oleh semua negara Islam ketika ini.

“Dunia Islam mungkin berpecah belah kepada banyak cabang entiti politik dan etnik. Namun persaudaraan ummah mesti dan harus mengatasi perpecahan dan perbezaan ini.

"Baik atau buruk, hampir seluruh 1.7 bilion umat Islam memberi impak kepada dunia secara keseluruhan dalam isu Palestin dan Al-Aqsa ini,” katanya dalam teks Ucapan Perasmian Sidang Kemuncak Ulama 2022 ‘Perpaduan Asas Pembebasan Al-Aqsa’ yang dibacakan oleh Penasihat Khas (mengenai) Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di sini hari ini.

Isu Palestin | Negara Islam perlu bersatu walaupun ada perbezaan


Tambahnya lagi Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membangkitkan isu Palestin secara jelas pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang dipengerusikan oleh Presiden Joe Biden di Washington baru-baru ini.

Malah Malaysia sangat memandang serius kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap warga Palestin.

“Saya mengajak seluruh Keluarga Malaysia untuk turut sama bangkit mengecam kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama katanya semua piihak tidak seharusnya mempunyai sikap subvertif atau hasutan semata-mata kerana tidak menyukai sesebuah negara Islam atau sistem yang diamalkan.

Umat Islam katanya perlu sentiasa mendekati masalah yang dihadapi Palestin dengan komitmen yang lebih tinggi dalam rangka perpaduan.

Malaysia katanya adalah sebuah negara yang percaya kepada keadilan untuk semua manusia dan rakyat Palestin adalah sebahagian daripada masyarakat dunia yang lain.

“Kita berhutang kepada rakyat Palestin untuk mengembalikan kepada mereka hak dan maruah mereka. Tidak ada siapapun yang layak diburu dari rumah mereka, kekal atau sementara, berkali-kali seperti rakyat Palestin,” katanya lagi.