PUTRAJAYA:Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui institusi kesihatan negara sudah tidak mampu menampung peningkatan kes harian yang mencecah lebih 2,000.

Beliau berkata, 15 buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 yang bukan terdiri daripada unit rawatan rapi (ICU) melebihi 70 peratus.

"Di Lembah Klang kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula telah mencapai 83 peratus.

"Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di lima  buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70 peratus," katanya pada Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, pada Isnin.

BACA: COVID-19: PKP di enam negeri zon merah - Perdana Menteri

BACA: PKP 2.0: Teks penuh perutusan khas Perdana Menteri

Muhyiddin menambah, terdapat lebih daripada 1,450 kakitangan perubatan yang disahkan positif COVID-19 atau terpaksa menjalani arahan kuarantin yang menyebabkan mereka tidak tidak dapat bertugas.

Katanya, jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus.

Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober hingga Disember 2020 berbanding dua hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020.

"Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk di bawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah COVID-19 (PKRC).

"Pada masa yang sama, bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri. Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal.

"The situation today is indeed very alarming. Our healthcare system is under tremendous pressure now than at any other time since the start of the pandemic," katanya lagi.