KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan mengambil pendekatan ‘belai dan rawat’ bagi memastikan Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan negara.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Perpaduan untuk bekerjasama melaksanakan serta menyampaikan dan menunaikan hak yang sepatutnya dinikmati bersama.

Jelasnya ia termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih ketinggalan.

“Mesej yang hendak saya sampaikan negara ini adalah negara Persekutuan dan kita tidak mampu mengangkat semangat idealisme,martabat, darjat negara dan rakyat sekiranya perasaan mereka sama ada kaum atau agama atau wilayah itu terguris atau tidak cuba dirawat... dan tugas pimpinan itu merawat bukan untuk menambah luka.

“Sebab itu saya lihat peranan saya merawat dan menyampaikan dan menyempurnakan tanggungjawab dan kepada yang hak, saya terasa ketika mendengar keluhan Sabah dan Sarawak, suku kaum atau kumpulan minoriti itu, mereka merasa tidak berada dalam arus perdana pembangunan negara. Saya tidak fikir ini wajar, maka harus kita belai dan rawat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Khamis.

Turut hadir, Premier Sarawak, Tun Abang Johari Tun Openg.

Malah sentimen tuntutan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara perkara pokok yang sering menjadi isu hangat bahkan meningkatkan lagi suhu politik di negeri itu.

Mengambil kira situasi tersebut, beliau bertekad untuk bersama Sabah dan Sarawak dalam menyelesaikan isu berkenaan dengan secepat mungkin.

“Antara yang nampak menimbulkan atau menghangatkan suhu politik Sabah dan Sarawak ialah MA63. Sebab itu saya beri jaminan daripada awal kepada sahabat saya Premier Abang Johari.

“Saya kata, saya akan lakukan yang terbaik, bukan kenyataan politik tetapi kenyataan tekad di mana kita telah diberi tugas dan tanggungjawab serta kepercayaan.

“Oleh itu kita mesti menghormati kepercayaan yang diberi (mandat) dan bersama- sama (Sabah dan Sarawak) untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.