PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa lagi berita gembira untuk rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan perayaan Aidilfitri.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, segala inisiatif kerajaan ini diharap dapat meringankan beban rakyat dalam berdepan tekanan kos sara hidup.
Advertisement
“Sebagai imbasan, antara pengumuman utama Perdana Menteri pagi tadi termasuklah pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula esok, penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 melibatkan penjawat awam, pesara dan veteran, selain imam, bilal, guru KAFA dan sebagainya.
“Pagi tadi juga kita mendengar siri Program Jualan Rahmah MADANI di seluruh negara akan diperluas, selain inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa turut diperluas. Ini merupakan antara pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, tujuh perkara kesemuanya telah pun diumumkan.
“Insya-Allah, Perdana Menteri juga akan mengumumkan beberapa lagi berita baik buat rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri, jadi sama-sama kita nantikan,” katanya semasa taklimat media Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Isnin.
Sementara itu, Tunku Nashrul memaklumkan, Pejabat Perdana Menteri juga sedang giat memantau serta meneliti perkembangan konflik di Asia Barat.
“Perdana Menteri sendiri memantau secara serius operasi evakuasi rakyat Malaysia dari zon konflik di Asia Barat setelah pengesahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibuat pada hari ini.
“Perdana Menteri sekali lagi menekankan bahawa nyawa rakyat Malaysia diutamakan dalam apa jua keadaan, terutamanya situasi kritikal yang tidak menentu,” ujarnya.
Mengambil keberkatan Ramadan, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri mendoakan agar keseluruhan operasi evakuasi ini berjalan lancar dan kesemua rakyat Malaysia yang terjejas dapat dibawa pulang ke tanah air dengan selamat.