PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum menerima sebarang undangan ke Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) yang bermula 11 Januari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), bagaimanapun, berkata, perkara itu merupakan perihal parti UMNO.

"Was I invited? Dalam politik atau kehidupan, tidak boleh (ada) seandainya atau sekiranya. Dia tidak boleh "if".

"If" ini kalau kamu baca satu puisi Rudyard Kipling, (ada disebut) "if". 

"Jadi, sekarang ini belum ada jemputan dan kita belum ada apa perkembangan. Lagipun ini soal parti UMNO, saya Keadilan (PKR)," katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat PH di Ibu Pejabat PKR, di sini, pada Sabtu. 

Anwar sebelum itu ditanya wartawan sama ada beliau akan menghadiri PAU2022 jika diundang oleh UMNO.

PAU2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di Kuala Lumpur pada 11 hingga 14 Januari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perhimpunan agung kali ini hanya akan membahaskan usul ucapan dasar Presiden.

Seramai 2,648 perwakilan bersama 174 pemerhati dijangka hadir pada PAU2022.