MALAYSIA
PM Anwar dijadual rasmi projek SSLR Fasa 2 pada 11 Sept - Nanta

Nanta (foto) berkata majlis perasmian akan berlangsung di satu daripada lokasi jajaran SSLR Fasa 2 di Limbang yang kini dalam peringkat pembinaan, dengan turut dijadual dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. -Gambar fail/Bernama
KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 pada 11 Sept ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri dijadual merasmikan Projek SSLR Fasa 2 di Limbang pada 11 September.
- SSLR Fasa 2 melibatkan pembinaan dan naik taraf jalan sepanjang 322 km menghubungkan Lawas, Limbang dan Mulu tanpa melalui Brunei.
- Projek dijangka tingkat mobiliti, ekonomi dan kesalinghubungan di kawasan utara Sarawak.
"Bulan ini genap setahun surat setuju terima (SST) diberikan kepada syarikat yang melaksanakan kerja pembinaan jalan itu," katanya pada sidang media selepas majlis Sesi Libat Urus Industri Pengurusan Fasiliti Sarawak 2025 di sini hari ini.
Projek SSLR merupakan antara projek strategik bagi meningkatkan rangkaian jalan raya di kawasan pedalaman Borneo Malaysia, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan antara kedua-dua negeri.
Projek yang menyediakan rangkaian jalan raya menghubungkan Limbang, Miri, Lawas dan Sabah tanpa melalui Brunei itu diluluskan secara berfasa oleh kerajaan Persekutuan pada 2021.
Berdasarkan laman web Kementerian Kerja Raya, projek SSLR Fasa 2 melibatkan pembinaan jajaran baharu dan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 322 kilometer yang akan menghubungkan bandar Lawas ke Limbang seterusnya ke pekan Mulu tanpa melalui Brunei.
SSLR Fasa 2 ini juga dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan utara Sarawak, memudahkan mobiliti penduduk, merancakkan aktiviti ekonomi serta mengurangkan kebergantungan kepada laluan yang melalui negara jiran.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami