Skip to main content
Advertisement

Malaysia

PM Anwar kehilangan abang tersayang, Idrus Ibrahim meninggal dunia

INSTA @anwaribrahim_my
Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham abang beliau, Idrus Ibrahim, yang telah kembali ke rahmatullah. Gambar: Instagram Anwar Ibrahim.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Idrus Ibrahim, meninggal dunia hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Anwar menerusi hantaran di media sosial ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia daripada lawatan kerja di China.

"Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, saya menerima khabar yang meruntun jiwa bahawa abang saya, Idrus Ibrahim, telah pergi buat selama-lamanya.

"Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada, dan hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini.

"Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi," katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan Allahyarham serta menyifatkan pemergian itu sebagai satu kehilangan besar buat keluarga.

Dalam hantaran sama, Anwar memohon orang ramai mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham.

"Semoga Allah SWT mengampuni segala khilafnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Maklumat lanjut berhubung urusan pengebumian Allahyarham masih belum dimaklumkan setakat ini.

 

Must Watch Video

Advertisement