Skip to main content
Advertisement

Malaysia

PM Anwar kemuka cadangan mekanisme rasmi kepada PM Nepal, bantu keluarga 55 mangsa hilang

Sebelum berlepas ke China pagi tadi, saya sempat mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah. Bagi pihak rakyat Malaysia, saya menyampaikan rasa simpati dan dukacita kepada Kerajaan serta rakyat Nepal atas bencana dahsyat yang melanda negara itu bulan lalu. -- FB Anwar Ibrahim
Dalam perbualan itu, Anwar turut menyampaikan keresahan keluarga mangsa yang masih menantikan kepastian. - Foto FB Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan satu mekanisme rasmi diwujudkan sekiranya 55 rakyat negara ini yang hilang dalam bencana di Nepal gagal ditemukan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi membantu keluarga mangsa menguruskan urusan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.

“Langkah ini penting bagi membantu keluarga yang terkesan menguruskan perkara berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.

“Saya akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah bagi memperincikan cadangan ini,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook rasminya hari ini.

Perkara itu dibangkitkan dalam perbualan telefon beliau dengan Shah sebelum berlepas ke China pagi tadi.

Dalam perbualan itu, Anwar turut menyampaikan keresahan keluarga mangsa yang masih menantikan kepastian.

Beliau juga menyampaikan simpati kepada kerajaan dan rakyat Nepal atas bencana dahsyat yang melanda negara itu bulan lalu.

Penghargaan turut diberikan kepada pihak berkuasa dan pasukan penyelamat Nepal yang melaksanakan operasi mencari mangsa.

Menurutnya, Shah memaklumkan keadaan di lapangan masih rumit dengan skala kemusnahan disifatkan seperti tsunami.

Bagaimanapun, Shah memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya.

“Saya berharap segala ikhtiar yang digerakkan akan membuahkan hasil dan memberikan kepastian yang amat dinantikan.

“Terutama buat keluarga kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui,” katanya lagi.


 

Must Watch Video

Advertisement