PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) pada 7 Ogos ini bagi membincangkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan hari ini berkata mesyuarat itu adalah susulan pengumuman perdana menteri baru-baru ini bagi mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam.

Kajian SSPA itu adalah sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi Membangun Malaysia Madani.

"JPA komited menjaga kebajikan penjawat awam dengan menambah baik sistem saraan secara komprehensif bagi memastikan perkhidmatan awam berdaya tahan dalam mendepani cabaran di masa hadapan," katanya.

Menurut JPA, ia sedang memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh kementerian, jabatan dan agensi hasil usaha yang digerakkan sejak 26 Julai lepas melalui beberapa sesi libat urus bersama kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan yang merangkumi enam kluster iaitu keselamatan, kesihatan, pendidikan, sains dan teknologi, teknikal serta pengurusan.

Bagi memastikan cadangan penambahbaikan yang diterima bersifat terangkum, JPA telah membangunkan portal khusus bagi menerima input daripada seluruh penjawat awam.

Segala cadangan penambahbaikan serta pembaharuan boleh dikemukakan melalui portal kajian SSPA menerusi laman sesawang https://semakansaraan.jpa.gov.my.



-- BERNAMA