PM Anwar persoal bagaimana e-waste boleh 'terlepas' masuk ke negara ini

Anwar menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin Seksyen 8 di sini hari ini.
BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan bagaimana sisa elektronik (e-waste) boleh 'terlepas' memasuki negara ini, dan memberi laluan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu itu.
Menurutnya, pendirian kerajaan adalah tegas melarang negara ini djadikan tempat untuk pembuangan sisa tersebut.
“Saya tidak faham mengapa boleh dimasukkan, kerana pandangan dan ketetapan kita melarang sama sekali Malaysia menjadi tempat pembuangan e-waste.
“Hal ini harus dipantau dan saya beri laluan penuh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Amin Seksyen 8 di sini hari ini.
Terdahulu media melaporkan, SPRM beri tumpuan terhadap siasatan aspek kelemahan tatakelola dalam pengurusan sisa elektronik di Selangor dan Negeri Sembilan susulan pelaksanaan Op Nature pada Selasa.
Pada 21 Jan, agensi itu turut mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-waste telah diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.
Sementara itu, Anwar turut mengakui masih terdapat kelemahan melibatkan isu kontrak dan tender yang menyebabkan berlaku amalan rasuah dan salah guna kuasa.
“Walau begitu kuat kita beri tekanan dan gesaan, tapi kita lihat masih ada kelemahan dan ketelanjuran,” katanya.
Beliau turut menyatakan akan mendapatkan laporan Ketua Audit Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara dan SPRM berhubung isu itu pada hari ini.
“Mereka harus teruskan tugas membersihkan saki baki kerenah rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


