NATIONAL
PM Anwar sampaikan perspektif Malaysia di Rusia, terima anugerah Doktor Kehormat MGIMO

Anwar diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum di pusat pengajian terkenal di Rusia, Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO). - Gambar fail/FB Anwar Ibrahim
KAZAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diberi penghormatan menyampaikan syarahan umum di pusat pengajian terkenal di Rusia, Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO).
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum di Moscow State Institute of International Relations University (MGIMO) bertajuk "ASEAN in a Multipolar World: Perspectives from Malaysia", sebelum menerima anugerah doktor kehormat atas sumbangan beliau dalam keamanan sejagat dan kerjasama antarabangsa.
- Selepas lawatan di Moscow, beliau akan berangkat ke Kazan, Tatarstan, untuk bertemu pemimpin tempatan, melawat Kazan Kremlin, serta menyertai Kazan Expo dan ekspo pameran halal Rusia. Lawatan ini memberi tumpuan kepada sejarah, budaya, dan hubungan ekonomi.
- Beliau turut menghadiri International Economic Forum "Russia - Islamic World: KazanForum 2025", yang mempromosikan perdagangan dan ekonomi antara Rusia serta negara-negara Islam. Tatarstan merupakan entiti ekonomi penting dengan lebih 150 pengeluar produk halal dan sektor eksport utama.
Usai segmen pertama lawatan rasmi beliau di Moscow, Perdana Menteri dan delegasi akan berlepas ke Kazan, Tatarstan, bagi menyertai beberapa lagi acara yang telah diatur.
Agenda pertama Anwar di Kazan adalah mengadakan perjumpaan dengan Rais Republic of Tatarstan sejurus tiba di sini.
Pada sebelah petang, beliau akan dibawa melawat Kazan Kremlin yang terkenal dengan kumpulan bangunan bersejarah luar biasa yang bermula dari zaman pemerintahan Islam.
Kremlin terdiri daripada beberapa kompleks sejarah, seni bina dan arkeologi, termasuklah kubu pertahanan, istana gabenor dan Menara Syuyumbeki.
Tatarstan merupakan salah satu entiti persekutuan terkaya di Rusia, dengan ekonominya berasaskan pengeluaran minyak dan industri yang penting.
Mengikut data yang dikumpul pada 2021, majoriti atau hampir separuh daripada penduduk Tatarstan terdiri daripada Tatar Muslim Sunni (54 peratus).
Perdana Menteri bersama delegasi kemudiannya akan menyertai Kazan Expo dengan mengunjungi pameran teknologi dan juga ekspo pameran halal Rusia.
Beliau juga dijangka menghadiri majlis Gala Reception on the occasion of the XVI International Economic Forum "Russia - Islamic World: KazanForum 2025".
Kazan Agro-Industrial Park yang berlangsung dari 13 Mei hingga 18 Mei, akan menjadi tuan rumah kepada Pameran Perdagangan Antarabangsa Kazan Halal Market sempena Russia - Islamic World: KazanForum 2025.
Tatarstan mempunyai lebih daripada 150 pengeluar produk halal dengan kira-kira 20 syarikat berorientasikan eksport.
Republik itu merupakan pengeksport utama petroleum bertapis (AS$4.28 bilion), petroleum mentah (AS$3.84 bilion), getah sintetik (AS$1.06 bilion), baja Nitrogen (US$202 juta), dan minyak biji benih (AS$196 juta).
Lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri ke Rusia berakhir esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami