MALAYSIA
PM Anwar seru Thailand, Kemboja selesai isu sempadan secara aman

Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyambut baik komitmen kedua-dua negara yang memilih untuk menyelesaikan pertikaian berkenaan menerusi rundingan dan saluran diplomatik. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Thailand dan Kemboja agar terus mengamalkan sikap berhemah serta mengambil langkah-langkah yang dapat meredakan ketegangan susulan pertikaian sempadan antara kedua-dua negara jiran itu.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Thailand dan Kemboja agar mengamalkan sikap berhemah serta menyelesaikan pertikaian sempadan secara aman.
- Beliau menyatakan bahawa Malaysia menyambut baik komitmen kedua-dua negara untuk menggunakan saluran rundingan dan diplomatik.
- Datuk Seri Anwar turut menegaskan, sebagai Pengerusi ASEAN, prinsip penyelesaian aman dan kerjasama serantau perlu dijadikan asas dalam menangani isu tersebut.
"Malaysia amat menghargai hubungan baik bersama kedua-dua negara. Sehubungan itu, saya menyeru agar Thailand dan Kemboja terus mengamalkan sikap berhemah, mengambil langkah-langkah untuk meredakan ketegangan, serta berusaha ke arah penyelesaian secara aman dan menyeluruh terkait situasi ini," katanya di sini pada Jumaat.
Perkara itu dizahirkan Perdana Menteri menerusi perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja pada Jumaat yang kemudian dikongsikan menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Selain itu kata Anwar, sebagai Pengerusi ASEAN, beliau turut menegaskan mengenai semangat kerjasama serantau dan prinsip ASEAN mengenai penyelesaian secara aman dapat menjadi landasan kukuh dalam menangani sebarang pertikaian.
Pada 28 Mei lalu, pasukan tentera Thailand dan Kemboja terbabit pertempuran singkat di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand, serta wilayah Preah Vihear, Kemboja, yang dilapor mengorbankan seorang askar Kemboja.
Susulan itu, Kemboja kemudian menyatakan hasrat untuk membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami