KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak menghalang penganjuran konsert di institut pengajian tinggi awam (IPTA) asalkan memenuhi syarat yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Pengajian Tinggi agar diberikan sedikit kelonggaran.

“Mungkin arahan itu (penganjuran konsert) terlalu ketat jadi saya akan bincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi. Acara kebudayaan, konsert itu boleh... tapi kita kawal supaya akhlak dan adab itu dijaga.

“Bagi saya soal akhlak itu penting tetapi kalau boleh janganlah sampai menyekat.

“Kalau ada gejala merosakkan, melampau... jadi yang itu kita akan halang, kalau setakat konsert orang nak nyanyi, berdiri goyang tangan sikit tu biarlah…,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Temu Anwar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada Ahad.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar berhubung isu penganjuran konsert di IPTA yang menimbulkan isu baru-baru ini.

Baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengarahkan semua IPTA di negara ini untuk melaksanakan penilaian risiko sebelum membenarkan sebarang bentuk aktiviti sosial dianjurkan di dalam universiti.

Ujarnya, perkara itu bagi memastikan pengisian program dapat ditapis agar tidak mencemarkan imej sesebuah universiti.

Baru-baru ini, tular rakaman video yang memaparkan suasana konsert bercampur lelaki dan wanita, didakwa diadakan di dewan sebuah IPTA di Terengganu.