KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Filipina Gloria Macapagal Arroyo di bangunan Parlimen di sini.

Ketibaan Arroyo dan delegasinya pada 11.50 pagi disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan timbalannya Ramkarpal Singh.

Semasa pertemuan selama 30 minit itu, Anwar dan Arroyo yang juga Presiden Persidangan Antarabangsa Mengenai Kependudukan dan Pembangunan (ICPD) telah membincangkan isu semasa termasuk mengenai pemansuhan hukuman mati mandatori.

Azalina yang ditemui selepas pertemuan itu berkata Arroyo menyatakan kekaguman mereka terhadap Kerajaan Perpaduan yang mengambil langkah segera dalam menguatkuasakan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846).

"Mereka kagum dengan kecepatan perubahan dasar dibuat dan semuanya kerana Perdana Menteri melihat ia perlu diubah dan Kerajaan Perpaduan MADANI telah berjaya melakukan. Kerajaan sebelum ni banyak bercakap, berbincang tetapi tidak dapat melaksanakan, tapi kita dapat melaksanakan sebagai satu komitmen kita kepada rakyat," katanya.

April lepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.

Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

-- BERNAMA