BUKIT GANTANG: Biarpun tidak lagi menjadi pemandu mereka, namun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih prihatin terhadap keadaan bekas pemandu kedua keluarga mereka, Saleh Ibrahim Kamaruddin, 58, yang kini menderita akibat penyakit kencing manis dan angin ahmar.

Tidak hanya berdiam diri, Dr Wan Azizah telah menghubungi pemimpin kawasan tempat tinggal Saleh Ibrahim untuk tindakan bantuan sebaik menerima khabar mengenai nasib bekas pemandu itu yang pernah berkhidmat dengan keluarganya selama 11 tahun sejak 2004.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata beliau dihubungi isteri perdana menteri supaya masalah rawatan kesihatan Saleh Ibrahim diselesaikan termasuk mencari tempat tinggal sesuai untuknya.

"Saya telah diamanahkan untuk menyelesaikan masalah Saleh Ibrahim yang sebelum ini tinggal berseorangan di bilik kecil di sebelah rumah abangnya Abdul Mutalib Kamaruddin dan isteri yang juga telah tua," katanya ketika ditemui pemberita di rumah Abdul Mutalib di Kampung Cheh, di sini hari ini.

Beliau berkata Anwar juga prihatin dengan menghubunginya untuk menyumbang bantuan wang tunai dan perubatan bagi Saleh Ibrahim.

Muhamad Arafat berkata hasil perbincangan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Saleh Ibrahim akan dihantar ke pusat jagaan orang tua Seri Kenangan di Taiping bagi memudahkan urusan penjagaannya memandangkan lelaki itu tidak pernah berkahwin.

Katanya perbincangan lanjut dengan pengarah JKM akan dilakukan sama ada perbelanjaan Saleh Ibrahim sepanjang di pusat jagaan itu akan ditanggung kerajaan atau sebaliknya.

"Jika tidak, kita bagi pihak perdana menteri tidak ada masalah untuk menanggung perbelanjaan Saleh Ibrahim sepanjang dia berada di pusat jagaan itu," katanya.

Sementara itu, Abdul Mutalib, 61, berkata adik ketiganya itu seorang yang rajin bekerja dan disenangi oleh masyarakat memandangkan dia pernah menjadi Ketua Kampung di Kampung Cheh pada tahun 2018.

"Alhamdulillah atas bantuan ini kerana saya dan isteri sudah berusia dan tidak larat lagi untuk menjaganya. Saya percaya di sana (Rumah Seri Kenangan) lebih baik penjagaannya dengan bantuan rawatan yang baik. Itu sahaja harapan saya dan saya rela dan terima segala keputusan yang dibuat oleh pihak JKM," katanya.

Saleh Ibrahim yang juga merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan fizikal akibat serangan angin ahmar, dihantar menaiki kenderaan JKM dari rumah abangnya ke pusat jagaan itu hari ini.

-- BERNAMA