Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kadar cukai pendapatan boleh dikurangkan dari semasa ke semasa.

Ia bagaimanapun, bergantung kepada trend jangka panjang model pembangunan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan.

Najib berkata, pengurangan cukai itu berdasarkan kemampuan kerajaan untuk menambah hasil pendapatan negara.

“Tetapi ini tidak bererti bahawa tiap-tiap tahun kita kurangkan kadar cukai, dia tengok kepada orang kata long term trend... Long term trend ini berdasarkan kepada pembangunan ekonomi yang telah saya sebutkan tadi,” kata beliau selepas majlis pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Ipoh.

Tambahnya, satu daripada kejayaan yang dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah kita dapat mengurangkan kadar cukai, namun hasil pendapatan negara dilihat bertambah.

Beliau berkata, Malaysia berpegang kepada falsafah ke arah negara berpendapatan tinggi tetapi dengan kadar cukai yang rendah.

Dalam pada itu, Najib juga memberitahu kerajaan akan memperkukuhkan lagi dasar jaringan keselamatan sosial seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terbela.