KUALA LUMPUR: Pas menyeru semua pemimpin dan rakyat untuk menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia bagi membolehkan kerajaan meneruskan segala usaha untuk menangani pandemik COVID-19, memulihkan ekonomi serta memperkukuh perpaduan dalam negara.

"Pas menjunjung kasih titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan Datuk Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9.

"Pas juga mengucapkan setinggi tahniah kepada Ismail Sabri atas pelantikan ini dan mendoakan agar sentiasa dikurniakan taufiq dan hidayah-Nya bagi melaksanakan tanggungjawab yang amat berat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan melantik Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera sebagai Perdana Menteri ke-9.

BACA: Agong perkenan lantik Ismail Sabri sebagai PM ke-9

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, keputusan itu ditetapkan Seri Paduka Baginda selepas Ismail Sabri menerima sokongan majoriti yang mencukupi iaitu seramai 114 Ahli Dewan Rakyat.

Beliau memaklumkan, lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri adalah dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (Sabtu), jam 2.30 petang, di lstana Negara.