Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat kerja-kerja akhir penyediaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 itu dibina sebagai persediaan menempatkan pesakit COVID-19 jika bilangan kes positif wabak berkenaan terus meningkat.

Ia mampu menempatkan sehingga 600 orang pesakit pada satu-satu masa.

"Pusat Kuarantin berkenaan diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya.

"Antara perkhidmatan yang disediakan di pusat ini ialah perkhidmatan klinikal, wad pesakit dalam untuk pesakit COVID-19, ruang “resuscitation” untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulan, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan X-ray dan perkhidmatan makmal patologi," kata Perdana Menteri melalui entri terbaharu di laman Facebooknya pada Isnin.

Fasiliti yang disediakan kepada pesakit termasuk katil, meja, kerusi, loker, TV, lounge, WiFi, komputer, surau, CCTV, tandas, ruang mandi, bilik persalinan dan ruang istirehat.

Bagi anggota yang bertugas pula, pusat ini menyediakan kaunter jururawat (nurse station), bilik rawatan dan kecemasan (treatment room/resuscitation room), ruang rehat anggota, bilik persalinan anggota dan ruang mandi termasuk ruang “Donning/ doffing” PPE (peralatan perlindungan diri) serta ruang mesyuarat dan seminar.

Pada ketika ini kapasiti di hospital COVID-19, Pusat Kusta dan Institut Latihan KKM adalah mencukupi untuk menempatkan pesakit COVID-19.

Penyediaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di MAEPS adalah salah satu langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi penularan wabak ini.