Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Sabah Electricity mempercepat pemulihan bekalan elektrik di lapan daerah Pantai Timur Sabah akibat menara penghantaran runtuh di Ranau.
- Beliau menzahirkan rasa dukacita terhadap kesulitan penduduk, terutama calon SPM, dan menggesa bekalan sementara diutamakan untuk sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal.
- Sabah Electricity menyasarkan pemulihan penuh bekalan elektrik pada 2 Disember atau lebih awal selepas lebih 150,000 pengguna terjejas akibat insiden tersebut.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Sabah Electricity mempercepatkan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik yang menjejaskan sehingga lapan daerah di Pantai Timur Sabah susulan kejadian menara penghantaran elektrik runtuh di Ranau.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau menzahirkan rasa dukacita terhadap kesulitan yang dihadapi penduduk, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya bekalan elektrik sementara disediakan dengan mengutamakan sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam kritikal sementara kerja-kerja pembaikan dilaksanakan.
"Bencana mungkin sukar dielakkan, tetapi kepantasan kita bertindak menentukan berapa lama rakyat terpaksa menanggung kesannya. Setiap jam sangat bermakna buat mereka," katanya dalam Facebook, di sini pada Sabtu.
Anwar berkata, tindakan pantas amat penting bagi memastikan tempoh gangguan dapat diminimumkan dan bekalan elektrik dipulihkan lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Kejadian menara T313 tumbang akibat tanah tidak stabil pada jam 6.04 pagi Khamis lalu menyebabkan dua litar talian penghantaran elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur Sabah terputus, sekali gus mengganggu bekalan di lapan daerah.
Sabah Electricity menyasarkan bekalan elektrik pulih sepenuhnya pada 2 Disember atau lebih awal.
Terdahulu, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta kerajaan negeri memberikan penjelasan menyeluruh berhubung gangguan bekalan elektrik berulang yang menjejaskan lebih 150,000 pengguna di Pantai Timur negeri itu.