Skip to main content

Politik

PRN Sarawak: Sentiasa bersama dengan rakyat, formula Awang Tengah kekal sembilan penggal

Awang Tengah, 63, (tengah) sebelum ini mencatat kemenangan tanpa bertanding di DUN Lawas pada 1996 dan DUN Bukit Sari pada 2016. - Gambar fail
Awang Tengah, 63, (tengah) sebelum ini mencatat kemenangan tanpa bertanding di DUN Lawas pada 1996 dan DUN Bukit Sari pada 2016. - Gambar fail
Advertisement

LAWAS: Sentiasa bersama dengan rakyat, mendengar keluhan mereka dan berterus terang dalam menangani setiap permasalahan, menjadi pegangan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sepanjang hampir empat dekad berkhidmat sebagai wakil rakyat, yang kini memasuki penggal kesembilan.

Timbalan Premier Sarawak itu, yang hari ini mencatat kemenangan tanpa bertanding buat kali ketiga sepanjang kerjaya politiknya, berkata hubungan dengan masyarakat perlu dibina secara berterusan, bukan hanya ketika pilihan raya.

“Yang penting kalau kita ada masa, masa luang ada, kita bersama dengan rakyat,” katanya pada sidang media selepas diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Daerah Lawas di sini hari ini.

Advertisement

Awang Tengah yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata beliau memilih untuk berterus terang, sekiranya sesuatu permintaan rakyat belum dapat dipenuhi, sambil berusaha menyelesaikan perkara yang mampu dilaksanakan.

Beliau turut mengakui setiap pemimpin mempunyai kelemahan, justeru pandangan masyarakat penting dalam membantu beliau mengenal pasti keperluan dan merancang pembangunan kawasan.

Advertisement

Bagi penggal baharu, Awang Tengah mahu pembangunan Lawas dan Bukit Sari melangkaui penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi, dengan memberikan lebih perhatian kepada pendidikan, kemahiran serta penguasaan teknologi.

Beliau berkata generasi muda Lawas perlu dilengkapi pengetahuan dan kemahiran yang membolehkan mereka merebut peluang dalam sektor ekonomi baharu, khususnya ekonomi digital.

Awang Tengah berkata kewujudan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Lawas, serta perancangan pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), merupakan antara usaha untuk mencapai matlamat itu, di samping memastikan kemajuan ekonomi seiring dengan pembangunan sosial serta pemeliharaan nilai budaya dan agama.

Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Bukit Sari Ladin Atok mengisytiharkan Awang Tengah, yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), menang tanpa bertanding selepas bakal calon Bebas Mohamad Brahim menarik diri pada saat akhir proses penamaan calon.

Awang Tengah, 63, sebelum ini mencatat kemenangan tanpa bertanding di DUN Lawas pada 1996 dan DUN Bukit Sari pada 2016.

Beliau merupakan antara wakil rakyat paling lama berkhidmat di Sarawak, setelah mewakili DUN Lawas selama empat penggal sejak 1987 sebelum memenangi kerusi Bukit Sari dalam lima pilihan raya berturut-turut sejak 2006.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan 29 calon menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, dengan pengundian awal ditetapkan pada 8 Dis dan hari pengundian pada 12 Dis.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement