Ringkasan AI
- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, buat pertama kali menyempurnakan penganugerahan ijazah kepada graduan doktor falsafah dan sarjana pada Konvokesyen UIAM ke-42.
- Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima Sarjana Sastera, manakala 5,489 graduan diraikan termasuk penganugerahan anumerta kepada mendiang Profesor Emeritus John L. Esposito.
- Sultan Nazrin mengingatkan graduan bahawa ilmu adalah amanah yang perlu disertai kebijaksanaan, integriti dan adab dalam berbakti kepada masyarakat.
GOMBAK: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, menyifatkan pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kali ke-42, sebagai detik penuh keluarbiasaan, apabila baginda buat julung kalinya diundang menyempurnakan penganugerahan ijazah kepada graduan doktor falsafah dan sarjana.
Baginda bertitah, kelazimannya penganugerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, namun kali ini lebih istimewa kerana penyandang jawatan itu sendiri, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, turut berada di dewan sebagai graduan sarjana.
"Terdapat keluarbiasaan juga keistimewaan dalam istiadat konvokesyen kali ini. Pertama, keluarbiasaan kerana belum pernah dan julung kali berlaku saya diberikan penghormatan diundang untuk menganugerahkan ijazah kepada graduan doktor falsafah dan sarjana.
“Walaupun amalan lazimnya penganugerahan tersebut disempurnakan oleh Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa," titah baginda.
Tengku Azizah raih Sarjana Sastera, kerabat diraja iringi istiadat
Menurut kenyataan media Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UIAM, Tunku Azizah berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam dengan kajian bertajuk "Hukum Kanun Pahang: Satu Kajian tentang Perlembagaan Melayu-Islam yang Berdaulat".
Sultan Nazrin turut merakamkan tahniah atas ketekunan adinda baginda itu sambil mengalu-alukan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mencerminkan sokongan padu di sebalik kejayaan seorang isteri.
Turut berangkat pada sidang pertama itu ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, bersama paduka-paduka anakanda, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
5,489 graduan diraikan, anugerah khas dan anumerta turut diberi
Konvokesyen yang berlangsung dari 28 November hingga 2 Disember 2026 di Kampus Gombak itu meraikan seramai 5,489 graduan, merangkumi 920 graduan doktor falsafah dan sarjana serta 4,569 graduan sarjana muda kepujian, dengan 345 graduan terlibat pada sidang pembukaan.
Pada sidang sama, UIAM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat (PhD) dalam Pemikiran dan Tamadun Islam secara anumerta kepada mendiang Profesor Emeritus John L. Esposito yang meninggal dunia pada 15 Julai 2026 pada usia 86 tahun, dengan ucapan penghargaan disampaikan isterinya, Dr Jeanette Esposito, menerusi rakaman video.
Anugerah Pelajaran Diraja sumbangan Majlis Raja-Raja pula diberikan kepada Aeshah Adlina A.Karim dan Ahmad Fitri Hakim Hashim, manakala Siti Nurain Rahim menerima Anugerah Khas Abdullah Ibn Ummi Maktum (Akademik) dan Ariff Aiman Azmi meraih Anugerah Khas Amr Ibn Al-Jamuh (Ko-Kurikulum) bagi kategori graduan Orang Kurang Upaya (OKU).
Amanah ilmu, adab dan resmi padi
Dalam titah bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, Sultan Nazrin mengingatkan graduan bahawa ilmu merupakan amanah yang perlu disertai kebijaksanaan, integriti dan adab, sebagaimana diingatkan mendiang Tan Sri Profesor Syed Naquib Al-Attas dan Imam Al-Shafi'i.
"Para graduan yang diraikan sekalian, ketinggian ilmu yang dimiliki tidak seharusnya menjadikan seseorang berhidung tinggi, apatah lagi sombong dan bongkak.
“Sedarilah, semakin tinggi ilmu seseorang, semakin besar tanggungjawabnya untuk berbakti kepada masyarakat. Ikutilah resmi padi, semakin berisi, semakin tunduk," titah baginda.