IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan hadir ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Stadium Indera Mulia di sini, pada Sabtu.
Ketibaan baginda disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohammad; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Advertisement
Majlis yang berlangsung meriah itu turut diserikan dengan kehadiran Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.
Dalam majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menyertai upacara simbolik menggaul yee sang, melambangkan kesejahteraan, kemakmuran dan perpaduan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Majlis anjuran Kerajaan Negeri Perak itu turut menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Cina, termasuk tarian singa dan naga, persembahan gendang, wushu serta opera Cina, secara simbolik menggambarkan kepelbagaian warisan budaya yang menjadi kekuatan negeri dan negara.
Selain itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan sumbangan angpau kepada golongan anak yatim dan kurang berkemampuan daripada beberapa rumah kebajikan sekitar Perak, sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan rakyat.
Sementara itu Menteri Besar Perak dalam ucapannya menegaskan bahawa keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini adalah hasil lebih enam dekad usaha berterusan membina perpaduan dalam kepelbagaian.
Beliau berkata, masyarakat Perak sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati, di mana anak-anak membesar tanpa rasa takut, jiran bertegur sapa tanpa rasa curiga, dan perayaan diraikan tanpa sebarang halangan, satu simbol keamanan yang terbina atas semangat kebersamaan.
Namun, Saarani mengingatkan bahawa keamanan bukan sesuatu yang kekal secara automatik.
Menyifatkannya seperti api yang memberi cahaya, beliau menegaskan keamanan memerlukan usaha berterusan untuk dipelihara agar tidak padam atau berubah menjadi sesuatu yang memusnahkan.
“Hari ini, kita melihat betapa mudahnya sentimen sempit dinyalakan. Betapa pantasnya naratif perpecahan disebarkan. Sentimen kaum dan agama acapkali ditiup kerana ia paling mudah membakar emosi dan meleburkan empati.
“Tetapi ingatlah bahawa negeri dan negara ini tidak dibina atas api kebencian. Sebaliknya, kita menjadikan api sebagai cahaya yang menerangi perjalanan meskipun hidup dalam kepelbagaian.
“Dan cahaya itulah yang sentiasa menyatukan tekad kita tatkala berdepan ujian dan dugaan. Cahaya itulah juga yang menerangi perjalanan kita dalam membina kemajuan,” tegasnya lagi.
Saarani turut menekankan bahawa semangat itu yang menjadi asas kepada gagasan Malaysia Madani, dan turut memacu pelaksanaan Perak Sejahtera 2030.
Saarani berkata, Perak komited untuk memastikan pertumbuhan inklusif, peluang yang adil, serta pembangunan yang membawa setiap kaum dan komuniti maju bersama dalam arus kemodenan.