KUALA LUMPUR: Tumpuan para media pastinya terarah pada Istana Negara selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Pastinya pelbagai tanda tanya serta persoalan bermain di fikiran rakyat ketika ini memandangkan desas-desus berkenaan pembubaran Parlimen semakin bertiup kencang.

Perkara ini dikuatkan lagi dengan kesepakatan yang dibuat menerusi Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini yang bersetuju agar pembubaran Parlimen dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu pada tahun ini juga.

Namun, sehingga kini Perdana Menteri masih lagi berteka teki dengan tarikh penting itu.

Justeru, pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bakal menjawab sama ada pertemuan itu dilakukan sebagai rutin biasa bagi menyembah maklum keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Kabinet termasuk Bajet 2023, atau pun turut mempersembahkan tarikh pembubaran kepada Baginda.

Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan kepada Agong berkenaan perkara yang dibincangkan Kabinet, termasuk perkara berbangkit.

Istana Negara sebelum ini turut menafikan laporan yang mendakwa Ismail Sabri mengadakan pertemuan itu bagi memohon pembubaran Parlimen.

BACA: Bubar Parlimen: Istana Negara nafi Perdana Menteri menghadap Agong hari ini

Perkara itu disahkan sendiri oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin. 

Bagaimanapun, spekulasi berkenaan pembubaran itu pastinya bakal terjawab hari ini.