Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan infrastruktur siber jalur lebar berkelajuan tinggi 100 gigabit sesaat Malaysian Research and Education Network (MYREN-X) di Universiti Malaya di sini hari ini.

Pelancaran insiatif itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2017 yang berhasrat meningkatkan kapasiti jalur lebar di universiti awam kepada maksimum 100 Gbps.

Jelas Najib, MYREN-X dijenamakan semula daripada program MYREN sebelum ini.

Pada masa sama, ia bakal memacu kecemerlangan penyelidikan dan pendidikan masa hadapan negara melalui penyelidikan Terkehadapan serta transformasi Pendidikan Tinggi Negara supaya bercirikan Pendidikan Abad ke-21.

"Saya sesungguhnya, berkeyakinan bahawa melalui MYREN-X ini, kita bukan sahaja akan mempunyai infrastruktur siber yang moden lagi serba canggih bahkan dapat mewujudkan satu ekosistem penyelidikan dan pendidikan yang semakin meluas serta bercitra baharu seterusnya berupaya menyumbang kepada negara mahupun di peringkat antarabangsa," katanya semasa berucap melancarkan MYREN-X di Universiti Malaya di sini hari ini.

Perdana Menteri juga mahu MYREN-X menjadi ejen perubahan kepada usaha memacu penyelidikan dan pendidikan dalam usaha memenuhi aspirasi Transfomasi Nasional 50 atau TN50.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kementeriannya mensasarkan untuk memperluaskan MYREN-X ke semua institusi pengajian tinggi awam seluruh negara dalam masa dua tahun lagi.

Jelasnya, rangkaian MYREN-X melibatkan 150 institusi pengajian berbanding hanya 12 universiti awam sebelum ini.

Ia membabitkan 20 universiti awam, empat universiti swasta, tujuh jabatan, 31 politeknik, 85 kolej komuniti, dan agensi serta tiga hospital pengajar.

Rangkaian MYREN-X, membolehkan akses secara terus kepada rangkaian antrabangsa seperti Trans Eurasia Information Network (TEIN) melalui Pan-european Research and Education Eetwork (GEANT), INTERNET2 USA, Korea Advanced Research Network (Cernet) dan Japan Science Information Network (SINET).

Tambahnya, tiada peruntukan tambahan disediakan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam melaksanakan insiatif itu.

"Tiada peruntukan tambahan dari kerajaan melalui broadband acces ini, yang dilaksanakan oleh MYREN-X, tidak ada kos tambahan kerana kita masih mengunakan kontrak-kontrak lama," katanya dalam sidang media semasa pelancaran MYREN-X.

Melalui aplikasi SIFULAN, semua pelajar universiti boleh mendapat akses jalur lebar MYREN-X termasuk melakukan penyelidikan dan pendidikan.

MYREN-X turut memudahkan sistem pembelajaran dan pengajaran, cloud computing, big data analytics, dan grid computing.